LATAR BELAKANG SEKOLAH

    Sekolah Kebangsaan LKTP Bukit Aping Timur, yang bertukar nama kepada Sekolah Kebangsaan Bukit Mahkota mula awal tahun 1985 terletak di Felda Bukit Aping Timur, Kota Tinggi, Johor.

     Peringkat pertama dibina pada tahun 1975 yang mengandungi 6 bilik darjah, Pejabat Guru Besar, Pejabat Sekolah, Bilik Guru, Kantin dan Stor dan 4 bilik air serta lengkap dengan pagar dan padang dengan perbelanjaan RM 195 000 di atas rezab sekolah dan rumah guru seluas 1,145,035 kaki persegi.

     Kemasukan peneroka beransur-ansur iaitu pada peringkat pertama bermula awal Disember 1975. Pada masa ini anak-anak peneroka di sini terpaksa bersekolah di Sekolah Kebangsaan LKTP Bukit Aping Barat iaitu kira-kira 3 km dari sini disebabkan bangunan sekolah ini belum siap. Mulai 1 hb September 1975, murid-murid seramai 150 orang, dengan 2 orang tenaga pengajar mula menggunakan bangunan ini, di bawah pengelolaan Encik Abdul Rahman Bin Jamil (Guru Besar) dan Encik Abu Samah Bin Ahamad (Guru Penolong).

     Pada tahun 1976 dan 1977 jumlah murid semakin bertambah akibat dari penghijrahan peneroka baru di Felda ini. Bangunan tambahan 2 bilik darjah telah dibina atas bantuan peruntukan wakil rakyat serta sumbangan dari penduduk tempatan. Pada tahun 1979, pihak Kementerian Pejalaran Malaysia telah membina bangunan tambahan yang mengandungi 6 bilik darjah, satu bilik RTV, 1 bilik perpustakaan, stor dan 2 bilik air dengan perbelanjaan RM 383 000.00 dan siap pada tahun 1981.

     Jumlah murid bertambah dari setahun ke setahun hingga ke tahap yang paling ramai iaitu berjumlah 888 pada tahun 1983. Selepas tahun berikutnya, jumlah murid mula menurun disebabkan tiada pertambahan ahli keluarga yang perlu didaftarkan untuk masuk ke sekolah. Walau bagaimanapun, sekolah ini masih kekal dalam gred ‘A’. Pada tahun ini, jumlah murid adalah seramai 410 orang dengan tenaga pengajarnya adalah seramai 26 orang dengan 6 orang kakitangan bukan guru.