SELAYANG PANDANG
GURU BESAR
SEKOLAH KEBANGSAAN BUKIT MAHKO
TA

Bismillahhirrahmanirrahim,

            Sebagaimana yang telah saya sebutkan dalam ruangan seperti ini dalam Buku “Program Strategik 5 tahun Sekolah  Kebangsaan Bukit Mahkota (2000 – 2004)”, bahawa tidak ada jalan mudah atau jalan pintas untuk mencapai kecemerlangan dan kegemilangan. Usaha-usaha yang berterusan, sepadu dan terancang perlu dilaksanakan supaya apa yang kita inginkan dapat kita capai.

Bagi merealisasikan segala hasrat kita untuk melihat sekolah ini cemerlang dan gemilang, kita perlu merancang strategi-strategi ke arah itu. Apatah lagi bidang pendidikan menuju alaf baru ini merupakan satu bidang penting yang sentiasa perlu kepada perubahan dan pemantauan bagi menjamin aspriasi negara dapat dicapai pada masa hadapan.

Penyediaan pendidikan yang meluas dan berkualiti adalah satu tanggungjawab yang besar dan memerlukan pengorbanan dan penambahbaikan yang berterusan. Oleh itu, mekanisma dan program-program penting telah dirancang di sepanjang tahun 2002 ini. Khususnya ke arah mencapai kecemerlangan dan kegemilangan sekolah ini.

Program tahun 2002 ini adalah merupakan kesinambungan kepada program-program  yang telah dilaksanakan pada tahun-tahun lepas dan ianya juga adalah program jangka pendek yang telah dihalusi berdasarkan program-program yang telah digariskan dalam “Program Strategik 5 tahun Sekolah Kebangsaan Bukit Mahkota” dan sesuai dengan peralihan ke alaf baru ini. Pihak sekolah ini juga sentiasa mendokong misi Kementerian Pendidikan Malaysia ke arah memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu sesuai dengan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan bagi memenuhi aspirasi negara untuk membangunkan sistem Pendidikan Malaysia yang bertaraf dunia dan menjadi negara maju pada tahun 2020 mengikut acuan kita sendiri.

Di antara bidang yang menjadi fokus kita pada tahun 2002 ini ialah usaha untuk mempertingkatkan pencapaian Bahasa Inggeris di kalangan pelajar. Begitu juga bagi matapelajaran Sains, Matematik dan Bahasa Malaysia, agar terus cemerlang.

Di samping itu kita juga akan meneruskan program ke arah 100% Celik Huruf, Penguasaan PAFA 100%, “ 0 ” masalah disiplin dan Penyertaan 100% dalam pasukan seragam sekolah dan juga penyertaan kokurikulum.

Oleh itu marilah kita seluruh warga Sekolah Kebangsaan Bukit Mahkota menjalankan tugas besar lagi berat yang telah diamanahkan kepada kita ini dengan pendekatan kerja sebagai satu ibadah, ma’uliah (akauntabiliti dan pertanggungjawaban) dan itqaan (kesanggupan) serta istigamah dan sentiasa bekerja sebagai sebuah ‘pasukan’.

Semoga Allah memberkati sehala usaha kita dan dengan izinNYA, kecemerlangan dan kegemilangan pasti dapat kita capai.

Insyaallah.

“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”